Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman
TUTONG, Ahad, 18 Mei. – Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pentadbiran dan
Perkhidmatan-Perkhidmatan dengan kerjasama Jabatan Perancangan dan Pengurusan
Estet hari ini mengendalikan Kempen Kebersihan di sebahagian jalan raya
dan kawasan kampung di Jalan Telisai, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi melancarkan dan menyertai kempen berkenaan
ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr. Haji
Azman bin Ahmad.
Kempen Kebersihan ini merupakan usaha Kementerian Pendidikan dalam menyokong
inisiatif Jawatankuasa Induk Isu-isu Kebersihan (JIIK) dalam memastikan
persekitaran Negara Brunei Darussalam adalah bersih dan bebas daripada sebarang
pencemaran di samping memberi kesedaran kepada penduduk kampung dan orang awam
tentang pentingnya kebersihan kawasan persekitaran.
Acara dimulakan dengan bacaan Doa Selamat yang diketuai oleh Guru Ugama dari
Sekolah Rendah Tumpuan Telisai, Awang Abdul Khalid bin Said, diikuti dengan
penerangan keselamatan sebelum memulakan kempen kebersihan.
Usaha pembersihan tertumpu kepada beberapa jalan raya yang dibahagikan kepada
enam zon, yang merangkumi sebahagian jalan raya dan kawasan kampung di Jalan
Telisai bermula dari Tanah Perkuburan Orang Islam Latukan Kampung Telisai
hingga ke sebahagian Pantai Tumpuan Telisai.
Kempen yang disertai oleh kira-kira 300 warga Kementerian Pendidikan, 100
penduduk mukim dan kampung itu telah mengumpulkan lebih daripada 600 kilogram
sampah-sarap.
Turut hadir, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan;
Pemangku Pegawai Daerah Tutong; Penghulu Mukim Telisai, Ketua Kampung Telisai;
Pegawai-pegawai Urus Setia JIIK; pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan
serta penduduk-penduduk mukim dan kampung yang terlibat.